Islam Agama Rahmat


.

Allah mengutus Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallamkepada sekalian manusia dengan membawa agama tauhid dan rahmah.Matlamatnya ialah untuk membersihkan rohani dan jasmani manusia agar dapat mengimarahkan dunia dan menyelamatkan diri mereka di akhirat dari azab neraka. Baginda benar-benar diutus sebagai penyelamat serta rahmat kepada sekalian alam.[1] Baginda telah menyampaikan agama Islam dengan sempurna, dengan penuh kasih sayang, sopan,[2] kebenaran dan menyeru umat Islam agar kembali kepada satu Jamaah untuk memperolehi keselamatan. Hal ini telah dikhabarkan oleh Allah Azza wa-Jalla di dalam firmanNya:

وَاعْتَصِمُوْا بِحَبْلِ اللهِ جَمِيْعًا وَلاَ تَفَرِّقُوْا.
“Berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah, dan janganlah kamu berpecah-belah”.[3]

Ayat di atas ini dengan jelas mengharamkan umat Islam dari bermusuh-musuhan dan berpecah-belah. Sebaliknya mewajibkan setiap individu Islam agar saling berkasih sayang dan mengikat dirinya hanya pada satu ikatan al-Jamaah. Hal ini telah dijelaskan juga oleh Abu Muhammad Al-Yamani[4]:
“Ahli Sunnah wal-Jamaah, mereka adalah golongan yang satu (فرقة واحدة) dalam satu al-Jamaah".[5]

Berjamaah adalah wajib hukumnya. Berpecah-belah pula adalah haram kerana berpecah (keluar dari al-Jamaah) boleh mengakibatkan seseorang (yang berpecah) itu ke neraka. Oleh itu, setiap umat Islam diwajibkan agar bersatu di dalam satu al-Jamaah Kenyataan ini telah dikhabarkan oleh Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallammelalui sabda baginda:
لَتَفْتَرِقَنَّ أُمَّتِيْ عَلَى ثَلاَثِ وَسَبْعِيْنَ فِرْقَةً ، وَاحِدَةٌ فِى الْجَنَّةِ وَثِنْتَانِ وَسَبْعُوْنَ فِى النَّارِ . قِيْلَ : مَنْ هُمْ ؟ قَالَ : اَلْجَمَاعَةُ.

“Akan berpecah umatku kepada 73 firqah, hanya satu ke syurga dan 72 ke neraka. Baginda ditanya: Siapa yang ke syurga wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Al-Jamaah”.[6]

Dan sabda baginda dalam menjelaskan maksud al-Jamaah serta ciri-ciri (sifat-sifatnya) dan tanda-tandanya:
مَا أَنَا عَلَيْهِ وَاَصْحَابِيْ
"(Al-Jamaah) ialah sesiapa yang seperti aku sekarang dan para sahabatku”.[7]

Hadis ini menjelaskan bahawa sifat al-Jamaah ialah yang menyerupai sifat jamaahnya baginda dan jamaahnya para sahabat, iaitu memegang dengan kuat dan erat setiap kebenaran yang didatangkan oleh Allah dan Rasulnya serta menggigitnya dengan gigi garham, kerana al-Jamaah akan sentiasa wujud sehingga ke Hari Kiamat. Ibnu Masoud radiallahu ‘anhu pernah menjelaskan bagaimana mengenal dan memilih al-Jamaah. Beliau juga telah menjelaskan tentang maksud al-Jamaah yang sebenar:
إِذَا فَسَدَتِ الْجَمَاعَ ، فَعَلَيْكَ بِمَا كَانَتْ عَلَيْهِ الْجَمَاعَةُ قَبْلَ أَنْ تَفْسَدَ ، وَأَنَّ الْجَمَاعَةَ مَا وَفَقَ الْحَق وَإِنْ كُنْتَ وَحْدَكَ.
"Apabila (semua) jamaah yang ada telah rosak, maka kembalilah kepada al-Jamaah yang belum rosak.Sesungguhnya Al-Jamaah ialah apabila mengikuti kebenaran sekalipun engkau seorang diri”.[8]
Ternyata para sahabat sentiasa mengikuti kebenaran.[9]Kebenaran adalah al-Quran dan as-Sunnah kerana Allah Azza wa-Jallaberfirman:
اَلْحَقُّ مِنْ رَبِّكَ فَلاَ تَكُوْنَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِيْنَ
"Kebenaran itu adalah dari Tuhanmu, oleh itu janganlah sekali-kali kamu termasuk orang-orang yang ragu".[10]

Bahayanya Perpecahan (Firqah) Dan Akibatnya
Perpecahan adalah bala besar. Berbagai-bagai kerosakan, kehancuran dan fitnah berpunca dari perpecahan ummah. Ketua, penyeru dan para pengikut golongan yang berpecaah telah dikhabarkan oleh Nabisallallahu ‘alaihi wa-sallam bahawa mereka akan dihumbankan ke dalam neraka. Terdapat perintah dari syara agar umat Islam sentiasa bersatu dan diharamkan dari berpecah-belah. Oleh yang demikian, perkara-perkara yang berkaitan dengan masalah ini perlu dijelaskan, bahawa:
1. Perpecahan dan bahaya-bahayanya akan berlaku apabila tidak mentaati Allah, sunnah Rasulullah, ulama, umara (pemimpin Islam) serta meninggalkan metodologi Ahli Sunnah wal-Jamaah (manhaj Salaf as-Soleh atau manhaj sahabat, tabi’in dan tabi’ut at-tabi’in), sama ada dalam berakidah, beramal, berakhlak dan berdakwah. Baginda sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:
عَلَيْكُمْ بِسُنَّتِيْ وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِيْدِيْنَ الْمَهْدِيِّيْنَ مِنْ بَعْدِيْ.
"Hendaklah kamu kembali (ittiba'/berpegang) kepada sunnahku dan sunnah para Khulafa’ ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk selepasku".[11]
Metodologi dan pemahaman mereka terhadap agama ini adalah yang paling tepat dan benar, kerana mereka sentiasa berpegang kepada manhaj al-Kitab dan as-Sunnah serta berjamaah di bawah naungannya, sehingga umat yang terkemudian diwajibkan mengikut manhaj mereka.
2. Keburukan, malapetaka dan kerosakan pasti berlaku apabila berpecah (meninggalkan al-Jamaah yang dipimpin oleh pemimpin yang beragama Islam). Namun ia boleh dielakkan jika masyarakat Islam memahami penjelasan as-Syatibi rahimahullah:
انَّ الْجَمَاعَةَ جَمَاعَةُ الْمُسْلِمِيْنَ إِذَا جْتَمَعُوْا عَلَى أَمِيْرٍ ، فَأَمَرَ عَلَيْهِ الصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ بِلُزُوْمِهِ وَنَهَىعَنْ فِرَاقِ اْلأُمَّة.
“Sesungguhnya al-Jamaah, adalah jamaah umat Islam apabila bersatu di bawah naungan seorang pemimpin.Maka telah diperintahkan oleh (Rasulullah) as-salatu was salam agar komitmen dengannya dan ditegah dari berpecah dari umat (Al-Jamaah)”.[12]
Terbentuknya umat (Al-Jamaah) yang teramai (السواد الاعظم) dari kalangan umat Islam[13] ialah apabila mereka bersatu di bawah satu pemimpin yang sentiasa berdampingan dan bekerjasama dengan para ulama. Kerana mafhumnya, antara pengertian al-Jamaah ialah umat yang berada di bawah satu pemimpin dan “bersatu bersama imam (ulama) mujtahid”.[14]
Oleh itu, umat Islam wajib mentaati ulama dan umara (pemimpin Islam) agar tidak berlaku firqah (perpecahan). Berpunca dari banyaknya firqah, ia sering mewujudkan pertelagahan,pertelingkahan, keganasan malah punca tercetusnya peperangan sesama umat Islam.

Mengingkari (Meninggalkan) Ketaatan

Umat Islam yang meninggalkan ketaatan kepada Allah, Rasulullah, ulama serta pemimpin, akan kehilangan perasaan kasih sayang, keikhlasan, rahmah dan akhlak mulia. Akibatnya timbul (lahir) dalam kalangan umat Islam berbagai-bagai firqah (hizb). Tercetus fitnah yang antaranya melahirkan pertelingkahan, pertelagahan dan akhirnya peperangan.
Wujudnya berbagai-berbagai firqah memberi peluang kepada musuh-musuh Islam mengambil kesempatan untuk menyemarakkan kebencian, saling tidak percaya antara satu dengan yang lain dan terus melaga-lagakan mereka, sehingga tercetus dari firqah-firqah ini semangat untuk saling menjatuhkan melalui berbagai-bagai cara yang tidak dihalalkan oleh syara, seperti melalui jenayah keganasan menggila, pembunuhan dan aksi teroris pengeboman berani mati yang yang disadur dengan nama dakwah, syahid dan jihad. Sekarang ini, keganasan yang buruk dan keji ini telah dilakukan oleh umat Islam dan benar-benar terjadi.

Islam Dan Keganasan

Malangnya, antara keganasan yang berlaku di berbagai-bagai negara datangnya dari firqah Islam yang dibungkus dengan nama Islam, kebanyakannya dilakukan atas dasar marah, dendam, hasad dan yang lebih ketara kejahilan. Keganasan mereka telah menakutkan semua lapisan manusia. Mulanya ia (keganasan) dilakukan oleh firqah ini ke atas golongan umat Islam yang tidak sealiran dengan mereka, atau tidak mahu menggabungkan diri dengan mereka dan menolak fikrah mereka.Seterusnya keganasan yang mereka lakukan ditujukan pula ke atas kuasa-kuasa atau pemerintah yang mendokong sesiapa sahaja yang tidak sealiran dengan mereka, sama ada individu, jamaah, negara Islam atau negara kafir. Dan mangsanya adalah semua peringkat masyarakat.Akhirnya firqah yang melakukan keganasan atas nama Islam ini menimpakan masalah kepada umat Islam dan umat lainnya di seluruh pelosok dunia


[1] . Allah berfirman: وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ رَحْمَةً للْعَالَمِيْنَ “Dan tidaklah kami utus (engkau wahai Muhammad) kecuali sebagai rahmat bagi sekalian alam”. Al-Anbia. 21:107.
[2]. Rasulullah bersabda: إِنَّ الرِّفْقَ لاَ يَكُوْنُ فِيْ شَيْءٍ إِلاَّ زَانَهُ وَلاَ يُنْزَعُ مِنْ شَيْءٍ إِلاَّ شَانَهُ“Sesungguhnya kesopanan/kelemah-lembutan jika ada pada sesuatu, maka ia akan menghiasinya, jika tidak ada pada sesuatu maka ia akan cacat”. H/R Muslim. Bab: Fadlul Rifq. No. 2594.
[3] . Ali Imran. 3:103.
[4]. Abu Muhammad Al-Yamani ialah ulamak kurun keenam hijrah.
[5]. Lihat: عقائد الثلات والسبعين فرقة Jld. 1 Hlm. 10. Abi Muhammad Al-Yamani.
Tahqik Muhammad bin Abdullah Zarban Al-Gamidi.
[6]. H/R Ibn Majah (2/1322). Hadis ini disahihkan oleh Al-Haitimi dalam (الزوائد).
Disahihkan juga oleh Al-Iraqi di dalam (تلخيص الاحياء).
[7]. Lihat: H/R Turmizi. (تحفة الاحوذى) (7/399-240).
[8]. Lihat: Riwayat Baihaqi. Al-Madkhal. الحوادث والبدع Hlm. 22. Abu Syamah.
[9]. Lihat: شرح السنة Hlm. 22. Al-Barbahari.
[10] . Al-Baqarah. 2:147.
[11]. H/R Ahmad (4/162). Abu Daud (5/13). Turmizi (7/437) dan Ibn Majah
(1/15).
[12]. Lihat: الاعتصام Jld. 2. Hlm. 264. As-Syatibi.
[13]. Lihat: H/R At-Tabari dalam "Al-Kabir" (1/320).
[14]. (1). Ini kata-kata 'Amru bin Qais Dalam الابانة. Jld. 2. Hlm. 492. Ibn Battah
(2). Perkataan Bukhari di dalam kitab sahihnya (13/328).
(3). Turmizi dalam Sunannya (4/467).

Your Reply